HADAPI MASALAH DENGAN BIJAK!
Oleh: Haslinda Lukman
Setiap individu baik remaja, dewasa atau orang tua, sudah
semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata orang hidup tanpa
masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang paling besar hinggalah
masalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah. Cuma masalah yang
dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga
adalah juga satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah pasti ada jalan
keluarnya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan berasa sangat tertekan,
hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.
Antara masalah yang wujud di persekitaran kita ialah masalah
kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, pertengkaran dengan ibu
bapa, corot dalam peperiksaan serta beribu-ribu masalah lagi. Masalah juga
boleh menyumbang kepada masalah yang lain, contohnya masalah remaja yang tidak
tahan dengan leteran ibubapanya boleh membawa remaja itu kepada
masalah lepak, pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh.
Masalah yang kecil apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada
mudarat yang amat besar.
Setiap hari kita tidak akan terlepas dilanda dengan masalah,
sekiranya bukan kita yang bermasalah, orang lain pula yang mendatangkan
masalah. Oleh itu kita perlu bersedia menghadapi permasalahan tersebut dan cuba mencari
kaedah untuk mengatasinya. Sempena kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal yang
mulia ini, mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud setiap masalah itu,
kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masalah dengan tenang.
UJIAN IMAN
Masalah sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita untuk
mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Sebab
sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan tanggungjawab kita
sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi kesenangan dan
kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh dengan keseronokan
dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun perkara itu jelas haram
di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia, contohnya mengambil dadah dan
hanyut dengan maksiat, dengan adanya ujian seperti ini, ia akan kembali
mengingati apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau
landasan yang telah ditetapkan oleh Allah ataupun telah jauh menyimpang.
Setiap masalah, kesukaran, kesakitan dan apa jua yang
menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji sejauh mana iman
kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud firman Allah :
"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan
saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak
diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum
mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya
Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." ( al-Ankabut: 2
- 3)
DARJAT DI SISI ALLAH
Ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah, sama ada
ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukanatau untuk
mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga hamba-hamba-Nya
tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk menghadapinya,
ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah seiring dengan
keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini bersesuaian dengan
firman Allah dalam surah al-Baqarah:286 yang bermaksud“ Allah tidak
membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”.
Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan
masalah, cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa
kita sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang
berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang
mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk
mereka." ( at-Taubah: 111)
CARA MENGATASI MASALAH
1.Sandarkan Harapan Pada Allah
Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak
hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti
akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah
al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas
kesulitan itu pasti ada kemudahan….”
"Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain
dari-Nya. Hanya
kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)
kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)
2.Minta Pertolongan Dari Allah
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan
yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu
amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (
al-Baqarah: 45)
3.Jangan Sedih dan Kecewa
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139)
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139)
Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat putus asa
dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat
untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah:
“ ...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah.
Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”( Yusuf
: 12)
4.Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai,
walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat
meringankan beban yang kamu tanggung.
5.Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain, mungkin
masalah orang lebih besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan
kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.
Penutup
Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan
kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita
kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha
Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti
ada hikmah yang tersendiri.
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik
bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu.
Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." – (al-Baqarah: 216)