Jom ke Masjid !
Hadith:
Dari Ubai bin Kaab r.a katanya:Ada seorang lelaki yang
setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu
dia tidak pernah ketinggalan bersolat jamaah. Kata orang kepadanya:Alangkah
baiknya jika kamu membeli seekor keldai untuk tunggangan kamu di malam gelap
atau di panas terik. Dia menjawab:Aku tidak suka tinggal berdekatan dengan
masjid kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid
ditulis Allah pahalanya bagiku. Sabda Rasulullah SAW :Allah mengumpulkan
pahala semuanya itu bagi mu.
Huraian Hadith:
Begitu indah ˜panggilan Allah' sehingga orang yang
benar-benar beriman akan segera berganjak dari kesibukan mereka untuk segera
menyahut panggilan-Nya. Demikian juga banyak sekali keutamaan yang diberikan
kepada mereka yang memakmurkan rumah Allah (masjid). Maka sesuai dengan
kemajuan hari ini juga, banyak surau-surau dan masjid yang cantik dibina bagi
memudahkan kita untuk solat berjemaah. Apatah lagi jika surau atau masjid itu
terletak berdekatan dengan kediaman kita. Tidak perlu kita berkenderaan untuk
ke sana . Namun kelazimannya manusia
sentiasa tidak bersyukur di atas nikmat tersebut yang jika direnungkan amat
ketara sekali pengabaiannya. Ini terbukti apabila kebanyakan masjid tinggal
terbiar, sunyi sepi tanpa dimakmurkan oleh ahli kariah masing-masing sedangkan
fungsi masjid amat luas iaitu selain menjadi tempat mendirikan solat ia juga
berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan aktiviti ceramah, majlis ilmu,
aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya. Hari ini apa yang menjadikan masjid
meriah hanyalah jika tiba bulan puasa dan hari raya. Meskipun kedudukan masjid
tidak jauh ternyata kita tidak tertarik untuk ke sana .
Kata orang, hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan
kerja. Tetapi jika hendak ke masjid, meskipun tidak hujan, panas, jauh sekali
ribut petir kita tetap tidak pergi ke masjid. Betapa kita menilai bahawa
pemberian gaji dan pemberian pahala itu seakan sesuatu yang asing. Kerja untuk
dunia dan solat untuk akhirat. Sedangkan kerja juga suatu ibadah yang
ganjarannya selain datang dari manusia yang berupa gaji, ia juga datang
daripada Allah yang dengan sifat Pemurah-Nya memberikan kita rezeki (melalui
kerja tersebut) dan Dia jugalah yang memberikan kita pahala jika kerja itu
diniatkan sebagai ibadah yang dilakukan kerana Allah. Maka kita selaku manusia
sewajarnya bersyukur kepadanya dengan datang beramai-ramai ke masjid untuk
memakmurkan rumah-Nya yang sekalipun kita tidak diberi gaji untuk itu tetapi
yang penting kita dikurniakan pahala dan keberkatan oleh-Nya. Bukankah itu
sebaik-baik jalan bagi manusia menuju kesejahteraan hidup memandangkan bahawa
bumi ini adalah milik Allah dan kita hanyalah makhluk yang kerdil yang
menumpang sementara di atasnya. Justeru hidupkanlah masjid sebagai tempat untuk
menunaikan ibadah secara berjemaah selain mendirikannya di rumah secara
sendirian ataupun bersama keluarga!
No comments:
Post a Comment