6/21/12

JODOH DAN TAKDIR - MISK



Selalu aku berdoa kepada Yang Maha Esa
Moga dikurnia seorang ratu di jiwa
Tempat untuk kuluahkan segala rasa
Perasaan yg tersimpan seribu satu makna

Di kala aku keseorangan
dia penghibur dan jua peneman
hati yg sayu tidak kesepian
duka dan lara tiada keresahan

Ya Allah tidak ku pinta yg menawan
tidak kuharap yg hartawan
bukan jua kerna kedudukan
cuma kudamba insan yang sepadan

Kasihnya sejati bukannya kerna paksaan
biarpun derita yg menjadi rintangan
ketulusannya yg tiada bandingan
tercipta ayu indahnya peribadi insan


SESUCI MARIAM-NICE



Hati mana yang tidak gembira
Bakal memiliki cahayamata
Penyambung zuriat keturunan
Hadir membawa bahagia

Namun dalam kegembiraan itu
Terselit duka yang meruntun kalbu
Insan yang bakal dilahir ke dunia
Tak tahu asal usulnya

Ribut pasir di gurun membara
Tak sehebat kalut di dalam jiwa
Apa jawabmu bila ditanya….
Janin yang membesar di rahim itu…siapa bapanya
Sedang dirimu yang masih suci tiada ternoda

Saidatina Mariam perawan mulia
Tabah kau hadapi dugaan melanda
Saidatina Mariam wanita solehah
Kebenaran terbukti pada yang tak bersalah

Akhlak yang terpuji dan berperibadi yang tinggi
Menjadi pakaian dan perhiasan diri
Sehingga Allah memilih rahimmu yang suci murni
Untuk menghamilkan Isa…seorang nabi

Kau solehah...


6/19/12

SATU AMANAH-HIJJAZ



Dengan Bismillah ku bermula
Bingkisan hati buatmu teman
Yang dikasihi
Kita bersama dalam satu ikatan
Bermula episod hidup di dunia ini

Ku harap hanyalah di dunia
Dirahmati dan diredhai
Selamat sejahtera di Syurgawi

Oh Tuhan satukanlah
Hati kami dalam mencintai
Redha atas ujian diberi
Jauhkanlah kami
Dari rakus mengejar duniawi
Hidup mati biarlah untuk-Mu
Harap dunia hanya di tangan
Bukannya di hati ‘untuk dicintai’

Kita dicipta sebagai khalifah
Bersama kita hidup untuk-Nya
Kita dicipta di dunia fana
Ada amanah yang tersedia

“Oh Tuhan..
Kita laksana bersama
Amanah dari-Nya demi
Memburu cinta dan harapan”

Tuhan itu harus diutama
Dari segala kepentingan dunia
Bergandingan kita untuk
Memburu cinta-Nya
Oh cinta-Nya

“Tuhan .. Kau satukanlah hati-hati
Memohon kasih-Mu oh Tuhan
Dalam mengharap redha
Dari-Mu..”

“Hanya di dunia
Kita harapkan, kita dambakan
Selamat sejahtera, bahagia..”


6/17/12

ISRA' MIKRAJ



Hening malam gelap yang membungkus
Desir angin tiada kedengaran
Gemuruh suara memanggil
Membangunkan Rasul dari tidurnya

Jibril berwajah putih bersih
Bersayap bergemerlapan
Dari Mekah ke Sidratul Muntaha
Buraq menawan tujuh petala
Membelah langit

Langit perak bertatahkan bintang
Bergantungan rantai-rantai keemasan
Tiada iblis dan juga syaitan
Dapat mendengarkan rahsianya Tuhan

Tabir akhirat disingkapkan
Membenarkan apa yang diwahyukan
Dosa pahala dijelaskan
Dipamerkan tiap pembalasan

Langit perak bertatahkan bintang
Bergantungan rantai-rantai keemasan
Tiada iblis dan juga syaitan
Dapat mendengarkan rahsianya Tuhan

Dipertemukan dengan Nabi-nabi
Diperlihatkan ragam malaikat
Diperbentangkan hari kebangkitan
Diwajibkan lima waktu sembahyang

Isra? mikraj yang amat panjang
Disingkatkan menjadi semalaman
Sukarnya untuk dipercaya
Hanya keimanan yang membenarkannya 


6/13/12

PETUA MENJADI PELAJAR CEMERLANG MENURUT AL-QURAN



Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?

Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

1.Keyakinan, kepercayaan dan keimanan kepada Allah SWT 

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

2.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

3.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan. 
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

4.Prihatin sesama kita

"dan orang-orang yang menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

5.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

6.Jujur, amanah

" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."

7.Tepati waktu

"dan orang-orang yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]

" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]

"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]

"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]


ANUGERAH ALLAH


Seringkali kita mendengar kata-kata sebegini:
“Comelnya dia”.
“Anak sape tu”.
“Umur berapa”.
“Nama sape”.
Alhamdulillah anugerah dariNya.

Setiap pasangan (yang berkahwin) menginginkan cahayamata sebagai penyeri kehidupan.Sunyi rasanya bila rumahtangga yang di bina tiada kedengaran tangisan anak kecil.Anak adalah anugerah Allah yang paling berharga.Anak  juga adalah amanah dari Allah untuk setiap ibu bapa.

Bersyukurlah,bagi pasangan yang di anugerahi  cahayamata.Bersabarlah,bagi pasangan yang belum lagi di anugerahi cahayamata walaupun sudah bertahun lamanya berkahwin.Setiap apa yang berlaku,ada hikmah yang tersembunyi.

Gembira tak terkata apabila bergelar ibu dan ayah.Alhamdulillah,anugerah dariNya.Anak kecil itu “di tatang bagai minyak yang penuh”,tidak dibenarkan walau seekor nyamuk pun mengigitnya.Dididik dan dipelihara dengan penuh kasih sayang.Kasih sayang kedua ibu bapa tak berbelah bahagi untuk anak yang dikasihi.

Buatmu sayang…

Anak-anakku,

kau umpama kain putih…..
bersih suci,waktu dilahirkan…..
mengasuh ,mendidikmu…..
umpama menatang minyak yang penuh…..
menjentikmu jauh sekali….
apatah lagi merotanmu…..

Anak-anakku,
mengasuh,mendidikmu…..
dengan penuh kasih sayang
tanpa mengira sempadan….
tanpa adanya jurang…..
yang membezakan antara semua….

Anak-anakku,
kepada Pencipta….
ibu ayahmu menadah tangan….
memohon diberinya zuriat…..
yang soleh dan solehah…..
yang mampu memimpin….
ibu dan ayah ke syurga….

Anak-anakku…..
janganlah leka dan lalai…..
akan segala suruhan Allah…..
ambillah yang baik,tinggalkan yang buruk…..
sesungguhnya syaitan sentiasa melalaikan manusia…..
perbanyakkanlah amalanmu….
zikrullah sentiasa dibibirmu…..
Al-Quran menjadi panduanmu…..
basahilah lidahmu dengan ayat suci Al-Quran….

Anak-anakku…..
ingatlah “syurga di bawah telapak kaki ibu”…..
takutilah azab Allah…..
jika dirimu menjadi anak derhaka…..
tiada tempat di syurga menantimu…..
berjanjilah pada diri sendiri…..
yang dirimu akan menjadi….
anak  yang soleh dan solehah…..
sesungguhnya anak-anak….
yang soleh dan solehah…..
menjanjikan syurga….
buat kedua ibu bapanya.


TERIMA KASIH EMAK...TERIMA KASIH AYAH...MAAFKAN ADIK


Emak aku suka berleter. Hari-hari dia berleter. Kadang-kadang aku tertanya-tanya sendirian, tidak jemukah dia berbuat demikian. Tetapi apabila aku imbau kembali, leteran emak semuanya untuk kebaikan aku. Cuma aku sahaja yang tidak boleh menerimanya.

"Adik solat, dengar azan tak? Jangan buat tak dengar pula, dah masuk waktu ni." Mula-mula perlahan sahaja suara emak.

"Kejap, kejap, kejap." Aku masih dengan sikapku yang suka-suka berlengah.

"Solat..." Emak mula meninggikan suara.

"Nanti adik buatlah, bukan adik tak buat langsung." Jawabku.

Itulah sikapku, sukar untuk dihakiskan dalam diriku. Aku memang suka bertangguh-tangguh dalam membuat sesuatu perkara baik dalam solat atau apa sahaja. Itulah yang menjadi punca leteran emak untukku setiap hari.

"Kenapalah mak ni suka berleter, bising aje." Setiap leteran emak, aku anggap sebagai mengganggu ketenteramku.

"Mak tak pernah pun suruh anak-anak mak buat benda-benda yang tak baik. Mak suruh solat, mengaji al-Quran. Semua itu untuk kebaikan diri masing-masing." Kata emak.

Dengan leteran emak setiap hari, membuatkan aku tidak betah duduk di rumah. Apabila cuti sekolah menjelang, aku lebih suka ke rumah emak saudaraku. Aman sedikit, tidaklah perlu mendengar leteran setiap hari.

Apabila ajal menghampiri, Malaikat maut tidak akan mendengar kata kita. Tidak ada perkataan 'sekejap'. Siapa kita dengan Malaikat. Emak selalu berkata begitu, apabila aku suka bertangguh dalam mengerjakan solat.

Dalam keluargaku, cuma aku sahaja yang bersikap sedemikian. Dalam 24 jam sehari semalam, lima waktu juga aku akan mendengar leteran emak. Solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Memang wajib setiap hari emak akan berleter diantara lima waktu itu.

Kadang-kadang sikap bertangguhku itu menguji kesabaran emak. Aku tetap melengah-lengahkan waktu solatku. Bila emak hilang kesabaran, memang sakit tubuh badanku di kerjakan oleh emak.

Emak kata lebih baik aku dihukumnya di dunia sebelum aku menerima hukuman di alam Barzakh. Ngeri juga aku bila membayangkan azab yang bakal aku terima akibat sikapku yang suka melengah-lengahkan waktu solat.

Aku bukannya tidak tahu, solat lima waktu wajib bagi setiap umat Islam. Solat juga tiang agama dan solat juga mencegah kemungkaran. Semuanya aku tahu. Tetapi aku tetap tidak boleh kikis sikapku yang suka melengah-lengahkan waktu solat.

Kadang-kadang emak dan ayah aku perdengarkan aku firman-firman Allah S.W.T dan sabda-sabda Rasulullah S.A.W, mengenai kewajipan solat lima waktu. 
Antaranya ialah:
Allah S.W.T berfirman dalam surah Hud ayat: 114 yang bermaksud:
"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."

Firman Allah S.W.T dalam surah Taha ayat: 132:
"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."

Rasulullah S.A.W juga bersabda:
"Allah S.W.T telah berfirman, Aku telah memfardukan ke atas umatku solat lima (waktu). Aku sungguh-sungguh telah berjanji dengan diri-Ku bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktunya maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya bagi sesiapa yang tidak menjaga solat Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya." (Riwayat Imam Abu Daud,Ibnu Majah dll)

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesiapa yang menjaga solat maka pada hari kiamat, solatnya akan menjadi nur, pembela dan penyelamatkan baginya. Sesiapa yang tidak menjaga solatnya, tiadalah baginya cahaya, pembela dan penyelamat.Pada hari kiamat, dia akan bersama-sama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf". (Riwayat Iman Ahmad dan Ibnu Hibban)

Emak dan ayah juga ada perdengarkan untukku balasan orang-orang yang suka melengah-lengahkan dan meninggalkan waktu solat. 
Antaranya ialah:
Rasullullah S.A.W bersabda:
"Jangan melambat-lambatkan dalam tiga perkara. Pertama: Solat, apabila telah masuk waktunya. Kedua: Pengebumian mayat, apabila jenazah sudah disiapkan. Ketiga: Mengahwinkan seorang wanita, apabila jodoh yang sesuai sudah didapati".

Sabda Rasullullah S.A.W:
"Seseorang yang meninggalkan solat sehingga terluput waktunya, kemudian menqadakan solat itu maka dia akan diseksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah sama dengan lapan puluh tahun. Satu tahun mengandungi tiga ratus enam puluh hari (di akhirat) adalah sama dengan seribu tahun (di dunia Ini)."

Sesetengah ulama berkata bahawa terdapat dalam hadis, sesiapa yang menjaga solatnya maka Allah S.W.T akan mengurniakan lima keistimewaan.
1. Akan diangkatkan kesempitan hidup di dunia daripadanya.
2. Akan dihindarkan daripada azab kubur.
3. Dia akan menerima buku catatan amalnya melalui tangan kanan.
4. Akan melintasi titian sirat sepantas kilat .
5.Akan memasuki syurga tanpa hisab.

Sesiapa meringan-ringankan solat, lima siksaan di dunia ini, tiga seksaan di dalam kubur dan tiga seksaan semasa dibangkitkan dari kubur.
Seksaan semasa di dunia:
1. Dicabut keberkatan umurnya.
2. Dihapuskan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya.
3. Allah S.W.T tidak mengganjari setiap amalan yang dilakukan olehnya.
4. Doanya tidak akan diangkat ke langit (doanya tidak akan diterima).
5. Dia tidak akan mendapat bahagian dalam doa orang soleh.

Seksaan yang menimpanya ketika mati ialah:
1. Dia akan mati dalam keadaan hina.
2. Dia akan mati dalam keadaan lapar .
3. Dia akan mati dalam keadaan dahaga,sehingga jika dia diberi minum air sebanyak lautan di dunia pun tidak akan dapat menghilangkan hausnya.

Seksaan yang akan menimpa ketika di dalam kubur ialah:
1. Kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuknya berceragah antara satu sama lain.
2. Api dinyalakan di dalam kuburnya dan dia akan dibalik-balikkan di atas bara api siang dan malam.
3. Seekor ular yang besar bernama "Ashsyuja 'ul-Aqra' " akan dilepaskan ke atasnya.Kedua-dua mata ular itu dibuat daripada api dan kuku ular itu dibuat daripada besi.Panjangnya setiap kuku ular itu sejauh satu hari perjalanan.Ular tersebut akan berkata dengan suara yang gemuruh seumpama petir, "Aku Ashsyuja'ul-Aqra. Aku diperintahkan oleh Tuhanku supaya memukul kamu kerana kamu meninggalkan solat subuh sehingga naik matahari, kerana meninggalkan solat solat Zuhur hingga Asar, kerana meninggalkan solat Asar hingga Maghrib, kerana meninggalkan solat Maghrib hingga Isyak, kerana meninggalkan solat Isyak hingga Subuh."Setiap kali ular itu memukulnya, dia akan terbenam ke dalam bumi sejauh tujuh puluh hasta. Dia akan diazab berterusan di dalam kubur sehingga hari Kiamat.

Manakala seksaan yang akan menimpanya ketika dibangkitkan dari kubur pada hari Kiamat di padang mahsyar ialah:
1. Penghisabannya amat berat.
2. Dia dimurkai Allah S.W.T.
3. Dia akan dimasukkan ke dalam neraka.

Ya Allah, ngerinya. Takut untuk aku menghadapinya. Mendengarnya sudah pun ngeri. Tambahlah untuk menghadapinya. Bertambah lagi kengeriannya.

"Mak, adik minta ampun. Adik janji adik takkn tinggal dan lewat-lewatkan solat lagi, sesungguhnya adik takut akan seksaan Allah. Terima kasih mak, terima kasih ayah."

Leteran mak selama ini adalah untuk kebaikan diriku jua.

TERIMA KASIH EMAK, TERIMA KASIH AYAH. MAAFKAN ADIK.


6/3/12

IMAN+TAQWA+ ILMU+TAZKIRAH = KUNCI KEJAYAAN



Oleh: Ustazah Nik Norliza binti Mustapa

Situasi A
”Tengok sepupu-sepupu kau, semuanya sudah berjaya, tinggal kat bandar, sudah ada rumah sendiri, kereta sendiri dan bla...bla..bla...kau apa pun tak ada”

Situasi B
”Eh, kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes, aku selisih dengan kau pun kau buat tak kenal jer ya!mentang-mentang sudah berjaya.” 

Situasi C
”Bagaimana dengan anak engkau? Sudah habis belajar ke? O.....Sudah habis, sudah berjayalah ya, apa nak dirisaukan lagi, dia sudah besar.”

Apakah penanda aras bagi kejayaan?

Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri, kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi bagaimana cara hendak berjaya? Kita  kata mahu jadi manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara ’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai masalah dalam berfikir.

Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....” kita bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman, yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang  kita ingin, yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk mencapai pandangan Allah, redha Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui  peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah  diri.

Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengikutinya dengan amalan. Menurut al-Qaradhawi, iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-harian.

Tidak dinafikan masyarakat keseluruhannya mengetahui tentang erti iman dan hakikat keimanan, namun apabila ditanya soal yakin, keyakinan itu adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 146 yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahuinya.” Persoalannya sudah tentu berkaitan dengan penerimaan yang tidak sampai ke tahap yakin, walaupun kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh yang demikian, dalam surah al-Hujurat, ayat 15 mafhumnya, ”... Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)  tidak ragu-ragu lagi.”

            Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud, ”Sesungguhnya hanya orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Allah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan  yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang beriman yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri orang yang beriman yang mesti ada pada kita.

            Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah SWT dan tidak  sekali-kali boleh melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh dan taat pada perintah Allah SWT serta tidak melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT lagi dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga sebagai ayat seribu dinar memberi maksud,”....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.....

Keimanan juga menjadi asas utama untuk mendapat keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkatan yang melimpah ruah dari langit dan bumi jika kita beriman kepada-Nya. Iman  dapat dikatakan sebagai suatu kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan suatu senjata yang membawa kebaikan dalam hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita orang beriman, marilah kita bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 119, ”Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar."

Dalam al-Quran banyak dinyatakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan, dijamin akan berjaya kerana mereka dijanjikan jalan keluar  (dari segala perkara yang menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihati. (lihat surat at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi petunjuk dan diberi pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak bertaqwa akan gagal dalam kehidupan kerana natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan kerosakan akan teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkat ketaqwaan kepada Allah SWT.

Bicara tentang Ilmu Pengetahuan

 Dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”  semaksud dengan ayat ini dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Katakanlah lagi,  adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (berilmu)...,”

Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu jauh sekali bezanya. Untuk memahami sesuatu perkara seseorang hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan pelengkap ke arah insan yang beriman, dapat mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dapat membimbing ke arah kebaikan. Ilmu dan Iman tidak dapat dipisahkan kerana ia saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu manusia jdapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.

Persoalannya, adakah kita termasuk orang yang berilmu? Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki hari ini sebenarnya terlalu sedikit. Kita tidak mengetahui banyak perkara, kita tidak pakar dalam semua bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit milik kita ini tidak dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan, ilmu hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan. Orang yang tahu, akan menggunakan ”tahunya” pada tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109 bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
 
Bicara tentang Pembersihan Jiwa

”Dia tidak tidak akan berubah selama-lamanya” layakkah kita untuk berkata begitu? Lagikan kain yang kotor jika diberus dan disabun akan bersih kembali, inikan pula kita manusia, lambat atau cepat akan berubah dengan izin Allah jika kita tahu dan sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok dengan ajaran Islam, lalu kita berusaha untuk membersihkan jiwa kita dengan melakukan perkara yang baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang. Kembali kepada tazkiah al-Nafs yang bermakna penyucian dan pembersihan jiwa sebagaimana firman Allah dalam surah al-Shams ayat 9 yang bermaksud, ”Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Dapat difahami daripada maksud ayat ini perlunya penjagaan diri untuk sentiasa taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan syariat dengan tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya.

Mari kita kembali kepada fitrah kejadian kita, diciptakan sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri yang bersih seperti kain putih bersih, tidak dinodai oleh mana-mana kotoran pada asalnya, tetapi kerana kita manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu dibersihkan dan dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang benar.

Oleh yang demikian, mari kita buang sifat tercela yang ada dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat terpuji. Kita bersihkan diri dan jernihkan jiwa dengan amalan yang merujuk pesan dari al-Quran dan sunnah, kita jadikan pedoman kisah kehidupan para nabi, sahabat, tabi`in, atba-tabi`in, kita rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup  tidak sia-sia.  Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Mari kita ubah cara fikir kita untuk membersih jiwa.

Dalam membersihkan jiwa kita tidak terlepas dengan ilmu pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan ilmu, pastinya tidak akan berubah. Mereka tidak dapat membezakan perkara yang hak dan yang batil. Jangan marah jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa jahil merupakan hijab kebanyakan manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat orang jahil seperti orang yang berjalan di dalam gelap, akhirnya fikir sendiri kesudahan perjalanan itu... Sebenarnya ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala amal tanpa ilmu adalah kosong.

Solusi  Menuju Kejayaan

Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali azan berkemundang seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua kali yang dapat diterjemahkan sebagai mari menuju kemenangan atau kejayaan memberi pengertian yang cukup luas iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat. Orang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya adalah orang yang berjaya dalam hidup. Ini kerana ukuran kejayaan hidup seseorang ialah sejauhmana kita taat pada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari ini, jangan disia-siakan. Mari kita fikir sejenak, adakah bila kita fikir tentang hidup sebenarnya kita fikir tentang mati, bila kita fikir mati, kita fikir balasan, bila fikir balasan, kita fikir tempat kesudahan? Kesimpulannya dari fikir dan fikir kita akan temukan jawapan,  kita ingin menjadi hamba Allah yang berjaya. Kita ingin nikmat dan rahmat-Nya, kita ingin  menikmati syurga Allah tetapi untuk itu semua kita perlu tingkatkan iman dan taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan hidup yang hakiki. Orang yang berjaya orang yang kenal diri, tahu tugas dan tanggungjawab serta tahu tujuan akhir sebuah kehidupan. Mari kita audit diri apakah yang kita ingin dalam hidup ini?

*Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian.


5/30/12

SELAWAT KE ATAS NABI SAW


         
 http://www.youtube.com/watch?v=yiUvqhseKVE 
                            
ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ  ﻮﺴﻠﻡ       
ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ   ﻮﺴﻠﻢ      

ﻴﺎ  ﻧﺒﻲ ﺴﻼﻢ ﻋﻠﻴﻚ            ﻴﺎ  ﺮﺴﻮﻞ  ﺴﻼﻢ ﻋﻠﻴﻚ      
ﻴﺎ  ﺤﺒﻴﺐ  ﺴﻼﻢ  ﻋﻠﻴﻚ       ﺻﻠﻮﺍﺖ  ﺍﷲ  ﻋﻠﻴﻚ          

ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ  ﻮﺴﻠﻢ      
ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ   ﻮﺴﻠﻢ     
      
 ﺃﺷﺮﻖ  ﺍﻟﺒﺪﺮ ﻋﻟﯾﻨﺎ            ﻓﺎ ﺨﺘﻔﺖ  ﻤﻨﻪ  ﺍﻟﺒﺪﻮﺮ     
ﻤﺛﻞ  ﺤﺴﻨﻚ  ﻤﺎ ﺮﺃﻴﻨﺎ          ﻗﻄ ﻴﺎ  ﻮﺠﻪ  ﺍﻠﺴﺮﻮﺮ       
                          
ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ  ﻮﺴﻠﻡ     
     ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ   ﻮﺴﻠﻢ    
  
 ﺃﻨﺖ  ﺸﻤﺲ  ﺃﻨﺖ  ﺒﺪﺮ       ﺃﻨﺖ  ﻨﻮﺮ  ﻔﻮﻖ  ﻧﻮﺮ           
ﺃﻨﺖ  ﺍﻜﺴﻴﺮﻮ ﻏﺎﻠﻲ           ﺃﻨﺖ  ﻤﺼﺒﺎﺡ  ﺍﻠﺼﺪﻮﺮ     

ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ  ﻮﺴﻠﻡ     
     ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ   ﻮﺴﻠﻢ    
   
  ﻴﺎ ﺤﺒﻴﺒﻲ ﻴﺎ ﻤﺤﻤﺪ            ﻴﺎ ﻋﺮﻮﺲ ﺍﻠﺨﺎﻔﻘﻴﻦ        
ﻴﺎ  ﻤٶﻴﺪ  ﻴﺎ  ﻤﻤﺠﺪ           ﻴﺎ  ﺇﻤﺎﻢ  ﺍﻠﻘﺒﻠﺘﻴﻦ           

ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ  ﻮﺴﻠﻡ    
ﺼﻠﻰ ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ ﻋﻠﻴﻪ   ﻮﺴﻠﻢ   
   
ﻴﺎ  ﻨﺒﻲ  ﺴﻼﻢ  ﻋﻠﻴﻚ          ﺼﻠﻮﺍﺖ  ﺍﷲ  ﻋﻠﻴﻚ       
ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ  ﻋﻠﻰ  ﻤﺤﻤﺪ       ﺼﻠﻰ  ﺍﷲ  ﻋﻠﻴﻪ  ﻮﺴﻠﻢ