Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang
walau di mana sahaja anda berada?
Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips
kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah
Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
1.Keyakinan, kepercayaan dan keimanan kepada Allah
SWT
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang
yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang
sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang
akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.
2.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang yang khusyuk dalam
solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan
mencapah dan melayang fikiran ke sana
ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.
3.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha
(perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh
tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda
dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya
sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita
peruntukkan.
Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk
belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah
seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan
perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda
sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk
mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila
kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan
banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat
pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah
kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang
bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.
4.Prihatin sesama kita
"dan orang-orang yang
menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita
bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih
susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu,
kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
5.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang yang menjaga kehormatannya.
kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka
mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari
dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari
batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi
berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je
mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan
sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan
meminta pada-Nya.
6.Jujur, amanah
" dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah
dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu
bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita
telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai
seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan
untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana ?
Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan
meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus
menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi tawakkaltu 'ala Allahi wala haula
wala quwwata illa billahil 'azim."
7.Tepati waktu
"dan orang-orang yang memelihara
solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan
seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan
berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan
produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti
menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan
kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima
kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau
berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini
untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita
menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya
dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita
perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah
SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.
" Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu
yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal
didalamnya." [23:10,11]
" ....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan
kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di
akhirat."[2:200]
"Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya
Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan
peliharalah kami dari seksa neraka." [2:201]
"Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari
apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat
perhitungannya." [2:202]
No comments:
Post a Comment