Oleh: Ustazah Nik Norliza binti Mustapa
Situasi A
”Tengok sepupu-sepupu kau, semuanya sudah berjaya,
tinggal kat bandar, sudah ada rumah sendiri, kereta sendiri dan
bla...bla..bla...kau apa pun tak ada”
Situasi B
”Eh, kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes, aku selisih
dengan kau pun kau buat tak kenal jer ya!mentang-mentang sudah berjaya.”
Situasi C
”Bagaimana dengan anak engkau? Sudah habis belajar ke?
O.....Sudah habis, sudah berjayalah ya, apa nak dirisaukan lagi, dia sudah
besar.”
Apakah penanda aras bagi kejayaan?
Mari kita rehat sejenak daripada melakukan kerja-kerja
harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri, kita fikir tentang diri,
bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai kejayaan yang
hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang mengetahui kunci
utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang berjaya, tetapi
bagaimana cara hendak berjaya? Kita kata mahu jadi manusia yang cemerlang
tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika diberi pilihan antara
’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu dalam sepuluh yang
memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu mempunyai masalah
dalam berfikir.
Tidak keterlaluan jika dikatakan terdapat sebahagian orang
yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda dan pangkat yang dimiliki
sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi halwa telinga bila kita
dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan mengikut ukuran masyarakat
sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau tak apalah berjawatan besar,
rumah besar, kereta besar dan....” kita bangga bila dikatakan begitu.
Pernahkah kita berusaha untuk menafikan sebenarnya kita belum berjaya dalam
hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman, yang dilihat itu adalah pada
pandangan manusia, bukan pandangan Allah. Yang kita ingin, yang kita
mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk mencapai pandangan Allah, redha
Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan kejayaan di sisi masyarakat
sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah memberi pelbagai gambaran yang
meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu untuk berjaya dalam kehidupan.
Antaranya melalui peningkatan iman, taqwa, ilmu dan tazkiah diri.
Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan dengan hati, mengakui
dengan lidah dan mengikutinya dengan amalan. Menurut al-Qaradhawi, iman ialah
kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur
syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan hidup, tingkah laku dan
perbuatan sehari-harian.
Tidak dinafikan masyarakat keseluruhannya mengetahui tentang
erti iman dan hakikat keimanan, namun apabila ditanya soal yakin, keyakinan itu
adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 146 yang
bermaksud, ”Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha
menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahuinya.” Persoalannya
sudah tentu berkaitan dengan penerimaan yang tidak sampai ke tahap yakin, walaupun
kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh yang demikian, dalam surah al-Hujurat,
ayat 15 mafhumnya, ”... Hanya orang yang beriman itu ialah orang yang
percaya kepada Allah dan rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan)
tidak ragu-ragu lagi.”
Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud, ”Sesungguhnya hanya orang
yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan mereka bertambah iman dan
kepada Allah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan yang
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah
orang beriman yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri
orang yang beriman yang mesti ada pada kita.
Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah SWT dan
tidak sekali-kali boleh melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah
kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh dan taat pada perintah
Allah SWT serta tidak melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah
al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya
penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada
mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi
tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT
lagi dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga sebagai ayat seribu dinar
memberi maksud,”....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan
suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan
baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta
memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.....
Keimanan juga menjadi asas utama untuk mendapat keberkatan
hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkatan yang melimpah ruah dari langit
dan bumi jika kita beriman kepada-Nya. Iman dapat dikatakan sebagai suatu
kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan suatu senjata yang membawa kebaikan dalam
hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita orang beriman, marilah kita
bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat
119, ”Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan
hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar."
Dalam al-Quran banyak dinyatakan ciri-ciri orang yang
bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan, dijamin akan berjaya
kerana mereka dijanjikan jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihati. (lihat surat
at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi petunjuk dan diberi
pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak bertaqwa akan gagal dalam
kehidupan kerana natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan kerosakan akan
teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkat ketaqwaan kepada Allah
SWT.
Bicara tentang Ilmu Pengetahuan
Dalam surah al-Mujadalah ayat 11, Allah SWT berfirman
yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan
orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” semaksud dengan
ayat ini dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Katakanlah
lagi, adakah sama orang yang mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak
mengetahui (berilmu)...,”
Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang berilmu dengan orang
yang tidak berilmu jauh sekali bezanya. Untuk memahami sesuatu perkara
seseorang hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan pelengkap ke arah insan yang
beriman, dapat mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan dapat
membimbing ke arah kebaikan. Ilmu dan Iman tidak dapat dipisahkan kerana ia
saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu manusia jdapat
melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.
Persoalannya, adakah kita termasuk orang yang berilmu?
Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki hari ini sebenarnya terlalu
sedikit. Kita tidak mengetahui banyak perkara, kita tidak pakar dalam semua
bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit milik kita ini tidak dimanfaatkan
bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan, ilmu
hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan. Orang yang tahu, akan menggunakan
”tahunya” pada tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109 bermaksud, ”Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis
kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis
kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang
sebanding dengannya, sebagai bantuan".
Bicara tentang Pembersihan Jiwa
”Dia tidak tidak akan berubah selama-lamanya” layakkah
kita untuk berkata begitu? Lagikan kain yang kotor jika diberus dan disabun
akan bersih kembali, inikan pula kita manusia, lambat atau cepat akan berubah dengan
izin Allah jika kita tahu dan sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok
dengan ajaran Islam, lalu kita berusaha untuk membersihkan jiwa kita dengan
melakukan perkara yang baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang. Kembali
kepada tazkiah al-Nafs yang bermakna penyucian dan pembersihan jiwa
sebagaimana firman Allah dalam surah al-Shams ayat 9 yang bermaksud, ”Sesungguhnya
berjayalah orang yang menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah
bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang
menjadikan dirinya-yang sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya
(dengan sebab kekotoran maksiat).” Dapat difahami daripada maksud ayat ini
perlunya penjagaan diri untuk sentiasa taat dengan perintah Allah dan meninggalkan
larangan syariat dengan tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya.
Mari kita kembali kepada fitrah kejadian kita, diciptakan
sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri yang bersih seperti kain putih
bersih, tidak dinodai oleh mana-mana kotoran pada asalnya, tetapi kerana kita
manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang
mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu dibersihkan dan
dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang benar.
Oleh yang demikian, mari kita buang sifat tercela yang ada
dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat terpuji. Kita bersihkan diri dan
jernihkan jiwa dengan amalan yang merujuk pesan dari al-Quran dan sunnah, kita
jadikan pedoman kisah kehidupan para nabi, sahabat, tabi`in, atba-tabi`in, kita
rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup tidak sia-sia. Allah SWT
telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang maksudnya “Sesungguhnya Allah
tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada
pada diri mereka sendiri”. Mari kita ubah cara fikir kita untuk membersih jiwa.
Dalam membersihkan jiwa kita tidak terlepas dengan ilmu
pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan ilmu, pastinya tidak akan berubah.
Mereka tidak dapat membezakan perkara yang hak dan yang batil. Jangan marah
jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa jahil merupakan hijab kebanyakan
manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat orang jahil seperti orang
yang berjalan di dalam gelap, akhirnya fikir sendiri kesudahan perjalanan
itu... Sebenarnya ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala amal tanpa ilmu adalah
kosong.
Solusi Menuju Kejayaan
Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali azan berkemundang
seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua kali yang dapat diterjemahkan
sebagai mari menuju kemenangan atau kejayaan memberi pengertian yang cukup luas
iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat. Orang yang melaksanakan perintah Allah
dan meninggalkan segala larangannya adalah orang yang berjaya dalam hidup. Ini
kerana ukuran kejayaan hidup seseorang ialah sejauhmana kita taat pada perintah
Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari
ini, jangan disia-siakan. Mari kita fikir sejenak, adakah bila kita fikir
tentang hidup sebenarnya kita fikir tentang mati, bila kita fikir mati, kita
fikir balasan, bila fikir balasan, kita fikir tempat kesudahan? Kesimpulannya
dari fikir dan fikir kita akan temukan jawapan, kita ingin menjadi hamba
Allah yang berjaya. Kita ingin nikmat dan rahmat-Nya, kita ingin
menikmati syurga Allah tetapi untuk itu semua kita perlu tingkatkan iman dan
taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan
hidup yang hakiki. Orang yang berjaya orang yang kenal diri, tahu tugas dan
tanggungjawab serta tahu tujuan akhir sebuah kehidupan. Mari kita audit diri
apakah yang kita ingin dalam hidup ini?
*Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian.
No comments:
Post a Comment