3/31/12

EPILOG SILAM-HAIKAL



Epilog Silam-Haikal

Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna kuyakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...


3/30/12

MENCAPAI DARJAT KESEMPURNAAN


http://www.islam.gov.my/e-hadith/mencapai-darjat-kesempurnaan

Mencapai Darjat Kesempurnaan

Hadith: 
Dari Nu'aim bin Abdullah r.a katanya, dia melihat Abu Hurairah berwudhuk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata, Aku mendengar Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:Sesungguhnya umatku akan datang kelak di hari kiamat bercahaya-cahaya wudhuknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas-batas yang wajib, lebihkanlah.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith: 
1. Salah satu syarat sah sembahyang ialah mengambil wudhuk. Dengan wudhuk yang sempurna seseorang akan dapat mengerjakan solat/sembahyang dengan penuh khusyuk.
2. Ketika berwudhuk kita diharuskan membaca doa-doa yang tertentu seperti berikut:
i. Ketika berkumur, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".
ii. Ketika membasuh muka, berniatlah:"Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".
iii. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah:"Ya Allah, berikanlah buku hisab ku di tangan kanan ku ini".
iv. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah:"Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisab ku di tangan kiri ku ini".
v. Ketika membasuh kepala, berniatlah:"Ya Allah, lindunglah aku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan Arasy Mu".
vi. Ketika membasuh telinga, berniatlah:"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini".
vii. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah:"Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqim".
viii. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah:"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".
3. Berwudhuk tidak sahaja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan agar berwudhuk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wudhuk itu dapat menggugurkan dosa-dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah.


3/29/12

BUTAKAH CINTA



BUTAKAH CINTA?
Oleh: Syah Putra
“ Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintaimu, tetapi lebih menyakitkan apabila kamu mencintai seseorang dan kamu tidak memiliki keberanian untuk menyatakan cintamu kepadanya.”

Amira  meneliti bait-bait kata puitis itu sepenuh hati. Itulah yang berlaku pada dirinya sekarang, mencintai seseorang dalam diam, dia tidak mampu untuk memberitahu perasaannya itu pada orang yang dicintainya. Amira merasakan dirinya penuh kekurangan, sebenarnya rasa rendah diri yang keterlaluan itulah yang menyebabkan dirinya seolah-olah terkurung dengan perasaannya sendiri, dan dia seolah olah rela melepaskan orang yang dicintai sepenuh hati dalam diam itu pergi.

Amira mengeluh kecil, sambil meletakkan pen yang dipegang untuk kedapur. Didapur mamanya sedang menggoreng ikan berdasarkan bunyi desiran minyak panas dikuali.” Mama masak apa hari ni? Tanya Amira.”hari ni mama masak lauk istimewa untuk dua orang anak mama ” balas Puan Lisa.”kakak mana?” tanya puan Lisa sambil meninjau melihat ikan yang digorengnya. “ Apa lagi, tidur lagi Ma” balas Amira. “Puteri ni, apa nak jadi, tidur tu kalau tak dah tengah hari tak bangun, apa nak jadi dengan anak dara zaman ini” rungut Puan Lisa. “ Ma, jangan marah, kak Puteri buat kerja  malam tadi, lepas subuh tadi baru dia tidur” jelas Mira, dia masak perangai mamanya yang cepat sangat marah kalau ada yang tidak kena dengan anak-anaknya.”Mana Mia tahu? Tanya Puan Lisa pula,dia rasa bersalah pula merungut tanpa usul periksa. “tadi masa Mia bangun solat subuh, Mia jenguk bilik Kak Puteri tengah mengadap komputer lagi dan lepas tu dia solat subuh dan pesan pada Mia kejutkan dia pukul 10 pagi, la sekarang dah 10.30, matilah Mia lupa nak kejut dia,nasib baik Mama tanya kalau tak habis Mia, Mia pergi kejut kakak sekejap Ma” .Terkocoh-kocoh Amira menaiki anak tangga ketingkat atas untuk mengejutkan kakaknya.

Puan Lisa hanya menggeleng kepala melihat telatah Amira. Amira Safia dan Puteri Balqish dua butir permata bagi dirinya.  Amira seorang yang peramah tetapi ada bab-bab yang tertentu boleh meyebabkan dia menjadi sangat pendiam, bijak, baik hati dan paling berdisiplin, masih belajar disebuah Universiti tempatan. Manakala Puteri, seorang yang manja walaupun dia anak sulung, lemah lembut berbanding Amira, petah berhujjah dan kini bekerja sebagai peguam disebuah firma guaman terkenal .Dia bersyukur kedua orang anaknya dapat membesar dengan suasana yang baik dan dia sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka.


“Kak Puteri, Mia tanya sikit boleh tak?”,  Amira bersuara sambil matanya asyik memandang kakaknya yang sidang sibuk menaip menggunakan  komputer. “Tanyalah, apa dia?, Sejak bila minta izin nak tanya ni, biasanya tak pernah pun nak minta izin” jawab puteri sambil matanya tidak lekang dari skrin komputer. “o.k, macam ni, …aa ..”berat mulut Amira untuk berkata.” wei, apanya Mia” tanya puteri , Mia adalah panggilan untuk Amira . Puteri menyimpan fail yang dibukanya dan mula keluar dari ‘microsoft word’ dan terus membiarkan komputer terbuka. Serta-merta dia mengadapkan mukanya ke muka Amira. Mereka sangat rapat dari kecil kerana di rumah itu hanya mereka berdua beradik . Puteri dapat merasakan ada sesuatu yang berat mengganggu hati Amira adik kesayangannya itu. Puteri walaupun anak sulung yang manja tetapi dia tetap boleh diberi ‘award’ sekiranya apa-apa jua masalah yang berkaitan dengan adik dan mamanya, biasanya dialah yang

“o.klah, adik, apa dia, beritahu kak puteri, macam berat sangat ni, beritahulah kalau kak puteri boleh tolong, kak putri tolonglah, kalau tak dapat nak tolong kita cubalah iktiar untuk selesaikannya, O.k?” Puteri memberi jaminan. Amira membisu, dia sebenarnya mahu memberitahu puteri perkara ini tetapi dirasakannya amat berat mulutnya. Adakah masalah ini penting atau tidak penting? Patutkah dia minta pandangan Puteri? Itu yang berlegar-legar dalam fikirannya. Dia mengambil keputusan untuk memberitahu puteri kerana dia rasa sudah tidak sanggup lagi untuk memikirkannya.

“Macam ni kak, Mia rasa Mia suka dengan seseorang, tapi dia tak tahu Mia suka dengan dia, Mia rasa macam dekat sangat dengan dia walaupun kami jarang sekali bertegur sapa,  Mia selalu sangat terserempak dengan dia, masa tu jantung Mia mesti dup…dap..dap..macam tidak boleh nak berhenti..Mia perasaan jantung Mia jadi macam ini beberapa minggu lepas,..orang kata ini adalah perasaan cinta…betul ke Kak Puteri?” suara Amira berterus terang tentang lelaki yang disukainya. Itulah positifnya Amira, dia akan bercerita tanpa berselindung dengan Puteri walau apa pun masalah dan yang penting sikapnya yang sering berusaha untuk keluar dari masalah sering menjadikan dia istimewa pada pada pandangan Puteri. Puteri kenal lelaki yang disebut Amira itu, rasanya dia tinggal ditaman yang sama dengan tempat tinggal kami.
“Mia, rasanya dia tinggal kat taman kita ni jugakan? Puteri minta penjelasan.”Ya..tepat sekali!”.jawab Amirah pantas.

“Macam itu pun boleh jatuh cinta?’, memang cinta itu buta!” puteri berkata sambil tersenyum sinis pada Amira.Walau apa pun pada pandangan puteri lelaki itu memang baik jadi tidak mustahil Amira menyukainya. Puteri tersenyum, Ini rupanya yang bersarang difikiran Adiknya. Patut akhir-akhir ini dia nampak sikap Amira sedikit pelik, kadang-kadang nampak terlalu bersemangat dan kadang-kadang nampak lesu, jatuh cinta rupanya…cinta remaja (cinta monyet atau sejati?) entah puteri sendiri tidak tahu untuk mengukurnya.

“kak Puteri, janganlah senyum-senyum macam tu, kalau tau kak Puteri cuma nak senyum dengar  masalah Mia ni, lebih baik  tak payah beritahu” bebel Amira.

“ La…, senyum pun tak boleh?”Giat Puteri. “adik dah jatuh cinta rupanya, tapi si dia tak tahu adik suka dia, susah ni dik ,apa orang kata “ bertepuk sebelah tangan”!, tak berbunyi..so tak ada faedahnya, kita kena ingat apa pun yang kita lakukan mestilah ada manfaatnya dan kena berpijak dibumi nyata tahu?” jelas Puteri.
“habis macam mana nak selesaikannya, kak Puteri tolonglah, hari-hari asyik ingat dia tu, memang tak berfaedah rasanya, tapi perasaan itu datang sendiri”gumam Mira.

“ Adik, bercinta tak salah tapi yang tak betul ialah cara kita melayan cinta itu, lebih-lebih kita sebagai wanita Islam, kena jaga adab dan syariat dan lebih-lebih lagi Mia tengah belajar pula tu, kak puteri tak halang adik suka orang tu, itu adalah fitrah manusia. Satu masalahnya orang tu tak tahu adik suka dia. Sekarang ini akak boleh beri dua pandangan , suka hatilah mana satu adik nak pilih”.

“Pertama, adik berterus terang dengan dia, beritahu dia adik suka dia dan nak berkawan dengan dia, risikonya dia akan terima atau tolak cinta adik,sekiranya dia lelaki yang baik dia akan terima dan tolak dengan cara yang terhormat, maksud maruah kita sebagai wanita masih terjaga,andainya tidak, tercalar juga maruah kita sebagai wanita, berani ke dik? Adik fikirlah. Cadangan Yang kedua , adik simpan sahajalah perasaan suka dengan dia itu, Kalau benar dia jodoh Mia, ia tidak akan ke mana-mana, sekarang Mia masih belajar, dia pun tengah belajar, utamakan pelajaran, anggap perasaan cinta ini sesuatu yang manis dan ia boleh menjadi sumber kekuatan bagi kita untuk terus hidup, buat solat hajat dan solat istikharah”.

 “Sebenarnya apabila kita menyintai seseorang tidak semestinya kita mesti memilikinya, dan cinta yang sejati itu ialah kita sentiasa doakan kebahagiaannya walaupun dia tiada di sisi kita, dengan cara itu kita juga akan rasa bahagia” jelas puteri lagi, dia pun tidak tahu bagaimana dia pandai berfalsafah tentang cinta. Tetapi apa yang dilontarkan itu ada logiknya pada pandangan Amira.

“Mia, jangan kerana cinta, kita gugur dari perjuangan, dan jangan kerana cinta juga, prinsip kita menjadi larut dan cair, cita-cita Mia belum lagi tercapaikan? Cinta tidak semestinya akan berakhir dengan perkahwinan dan perkahwinan juga tidak semestinya akan menoktahkan titik akhir kepada percintaan. Hanya kesetiaan akan mengikat cinta. Cinta tidak pernah meminta, ia sentiasa memberi . Di mana ada cinta di situ ada kehidupan. Itulah positifnya cinta ”jelas Puteri lagi. “Sekarang ini terserah pada adik nak buat keputusan. O.k? “.Puteri meneruskan semula kerjanya yang tergendala tadi. Dia berasa lega dapat memberikan pandangan tentang masalah itu. Dia dapat melihat wajah Amira yang keruh sudah ceria semula, itu menunjukkan Amira akan dapat membuat keputusan yang tepat untuk dirinya sendiri,

###########

“Betul kata kak Puteri, cinta tak semestinya memiliki, sekarang ini aku harus lepaskan dia pergi dahulu, kalau ada jodoh tak ke mana, aku masih mempunyai banyak perkara untuk diburu dalam hidup ini selain memburu cintanya” bisik hati Amira sambil tersenyum walaupun ia sedikit pahit untuk dilalui dan turut membekas dihatinya. Amira tahu keputusan yang dibuat ini akan melegakan  kak Puteri dan Mamanya. Perjalanan hidupnya masih berliku, dia berazam untuk membuat yang terbaik dan dia juga berdoa agar cinta itu akan menjadi miliknya satu hari nanti. Hatinya berbunga ceria apabila mengingatinya.


3/24/12

MENTARI HIDUP - HAIKAL


Mentari Hidup-Haikal

Kala senja itu tiba
Kutermenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan

Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan

Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran

Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan

Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali




3/20/12

JOM MENGAJI



http://www.surah.my/  


(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
(A-li'Imraan 3:138)

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-A'raaf 7:204)

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
(Al-Israa' ayat:9)

 

3/17/12

HIMPUNAN HADIS


HIMPUNAN HADIS HARIAN JAKIM

Hukum Memakai Sutera Dan Emas

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah memakai sutera dan emas."
(Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Huraian Hadith: 
1.Emas dan sutera adalah perhiasan yang dipakaikan kepada penghuni syurga di hari akhirat kelak. Oleh itu Islam telah mengharamkannya kepada lelaki daripada memakainya ketika di dunia. Lain pula halnya bagi wanita di mana mereka diharuskan (halal) berbuat demikian.
2. Memakai cincin perak pula hukumnya halal terhadap kaum lelaki bahkan Rasulullah s.a.w sendiri pernah memakai cincin perak.
3. Tetapi dalam pemakaian kain sutera terdapat keringinan (rukhshah) iaitu apabila ada suatu keperluan yang berhubung dengan masalah kesihatan, sebagaimana Rasulullah pernah mengizinkan Abdur-Rahman bin 'Auf dan az-Zubair bin Awwam untuk memakai sutera kerana masalah sulit di badannya.
4. Antara hikmah Islam melarang penggunaan emas dan sutera tersebut adalah untuk menghindari dua hal yang merugikan iaitu pemborosan dan sikap bermewah-mewahan. Tambahan pula adalah amat tidak manis (tidak sesuai) bagi lelaki berhias sebagaimana wanita berhias apalagi Islam melarang lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.


Adab dalam meminang

Dari Ibnu Umar RA katanya, Nabi SAW bersabda: "Jangan kamu beli barang yang sedang ditawar oleh saudaramu; jangan kamu pinang wanita yang sedang dipinang saudaramu, melainkan apabila telah diizinkannya”.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith: 
1. Khitbah (Bahasa Arab) /'bertunang' (Bahasa melayu) adalah muqaddimah atau permulaan kepada az-zawaj(Bahasa Arab) / nikah atau kahwin (Bahasa Melayu).
2. Allah menjadikan khitbah sebagai salah satu dari syariat-syariat / perundangan-perundangan dalam Islam. Hikmahnya adalah untuk memberi peluang berkenal-kenalan dengan pasangan masing-masing sebelum bernikah atau berkahwin.
3. Hukum khitbah adalah 'harus' tetapi mengikut Imam As-Syafie (sila rujuk buku Mughni Almuhtaj) mengatakan hukumnya adalah al-istihbab / sunat. . Dan Dr. Abd. Karim Zaidan (sila rujuk buku Almufassal fi Ahkam Al Mar'ah mengatakan bahawa hukumnya adalah sunat iaitu lebih  utama dari hukum harus tadi.
4. Khitbah adalah dilarang bagi seseorang wanita yang telah dipinang oleh orang lain. Begitu juga dilarang membeli barang yang sedang dalam urusan jual beli orang lain. Hal ini adalah untuk menjaga kehormatan dan mengelak daripada berlaku perebutan dan pergaduhan selain daripada menjaga keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.


Hak Tanggungjawab Dan Peranan Suami

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.
(Riwayat Ibnu Majah)

Huraian Hadith: 
1. Dalam institusi perkahwinan Allah S.W.T telah mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri.
2. Pemberian nafkah oleh suami terhadap keluarga merupakan satu amanah yang mesti ditunaikan di mana nafkah tersebut merangkumi perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, keselamatan dan perlindungan.
3. Pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seseorang.
4. Kaum wanita tidak diwajibkan bekerja mencari nafkah. namun Islam membenarkan mereka keluar bekerja demi membantu mengurangkan beban yang ditanggung oleh suami. Sumbangan isteri ini merupakan satu sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.


Empat Kunci Kebahagiaan

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa”
(Riwayat al-Bazzar)

Huraian Hadith: 
i) Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:
a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.
d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
ii) Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
iii) Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.


Kecelakaan Zina

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: Sesungguhnya tujuh petala langit dan bumi sama mengutuk orang yang selalu berzina dan bau kemaluan pelacur di dalam neraka dapat mengganggu ahli neraka kerana sangat busuknya.
(Riwayat al-Bazzar)

Huraian Hadith: 
i) Di antara sifat orang-orang mukmin yang sebenar adalah menjaga kemaluannya dari perbuatan zina kerana zina adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar (al-kaba'ir) di samping menyekutukan Allah, meminum minuman keras, berjudi, mencuri dan membunuh.
ii) "Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32) Larangan zina yang digunakan di dalam al-Quran ini iaitu ''Janganlah kamu mendekati zina, bukan ''Janganlah melakukan zina'' mempunyai makna yang sangat mendalam iaitu bukan hanya perzinaan sahaja dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah itu adalah dilarang sama sekali seperti memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara (rayuan atau pujukan), bergaul bebas antara lelaki dan wanita, berdua-duaan dengan orang yang bukan muhrim dan sebagainya.
iii) Etika berpakaian juga harus dititikberatkan di mana pakaian seorang muslimah itu wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang dari dorongan berahi kerana jika aurat tidak ditutup dengan sempurna ia akan mengundang berlakunya kejadian rogol atau perbuatan zina yang boleh merosakkan maruah individu yang terlibat.
iv) Hari ini seakan menjadi trend, kebanyakan pakaian yang dipakai oleh golongan muda (ada juga yang telah berumur) terlalu pendek, ketat dan nipis Fenomena seperti ini patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat.
v) Segala-saluran yang dikira boleh membawa manusia kepada perzinaan seperti rumah-rumah pelacuran, disko-disko, rumah-rumah urut dan sebagainya hendaklah dicegah ditutup keseluruhannya. Jika tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini.


Keistimewaan Khadijah

Dari ˜Aisyah r.a katanya:Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.
(Riwayat Bukhari)

Huraian Hadith: 
Rasulullah s.a.w memperisterikan saidatina Khadijah bukan kerana status sosialnya yang yang tinggi yang terkenal sebagai seorang yang hartawan lagi dermawan tetapi adalah kerana sifat saidatina Khadijah itu sendiri yang mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia. Saidatina Khadijah adalah seorang yang berfikiran tajam, sabar dan berpandangan jauh. Lebih daripada itu, Khadijah adalah seorang isteri yang benar-benar memahami keadaan suaminya. Ini terbukti ketika mana pertama kali baginda menerima wahyu dilantik menjadi utusan Allah, Khadijahlah yang menenangkan hati baginda dan kemudian mempertemukan baginda dengan sepupunya Waraqah bin Naufal yang mengatakan bahawa baginda adalah seorang Nabi. Khadijah sebenarnya adalah seorang isteri yang mampu menyuntik semangat seorang suami dalam menyempurnakan amanah kepada Allah bahkan beliaulah orang yang mula-mula memeluk Islam sebelum nabi berdakwah di kalangan para sahabat baginda yang lain. Dalam diri Khadijah ditemui teladan wanita terbaik; wanita yang subur dengan kasih-sayang yang juga telah melahirkan anak-anak baginda iaitu: al-Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayya, Umm Kulthum dan Fatimah. Dalam perjuangan baginda menegakkan agama Islam, Khadijahlah orang yang paling banyak berkorban, harta dan tenaga dalam mempertahankan baginda dari disakiti oleh kaum Quraisy. Begitu banyak peranan yang telah dimainkan oleh khadijah bahkan boleh dikatakan bahawa beliau telah menjadi tulang belakang dalam kegiatan dakwah Rasulullah. Dan berpadanan dengan jasa dan pengorbanannya itu Allah S.W.T telah mengurniakannya sebuah rumah di dalam tempat yang paling mulia iaitu syurga.


Larangan Berkhalwat

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga.
(Riwayat at-Tirmidzi)

Huraian Hadith: 
1. Wanita adalah dilarang berkhalwat dengan lelaki yang bukan muhrimnya di mana berkhalwat tidak semestinya berlaku di dalam rumah sahaja tetapi ia juga boleh berlaku di tempat-tempat yang sunyi tanpa dihadiri atau dilihat oleh orang ramai seperti di taman, tasik, pejabat dan sebagainya.
2. Khalwat yang diharuskan oleh Islam adalah khalwat dalam ertikata ˜mengasingkan diri daripada orang ramai untuk tujuan beribadah kepada Allah S.W.T' sepertimana yang berlaku pada Rasulullah s.a.w. yang berkhalwat di Gua Hira'. Baginda menjauhkan diri daripada masyarakat jahiliyah untuk melakukan ibadah kepada Allah.
3. Syaitan merupakan makhluk yang bijak. Selagi ada kesempatan yang terluang, ia akan menggoda manusia untuk melakukan perbuatan yang terkutuk. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada. Jangan sekali-kali menghampiri pintu yang menghumban ke neraka seperti melakukan khalwat yang akhirnya menjebakkan diri kepada zina dan sebagainya.


Khairun nisaa

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith: 
Seorang isteri melihat kebahagiaan sebagai matlamat unggul dalam kehidupan berkeluarga. Ia tidak boleh diukur tetapi dapat dirasai. Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya. Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: "Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."(Surah an-Nisaa' ayat 34).
Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam. Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa. Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis. Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga. Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing. Mudah-mudahan jalan penyelesaian pada masalah yang mengancam keamanan rumah tangga pada hari ini dapat dijawab.
(Sumber: Himpunan Hadis-hadis Sahih/ Sahih al-Jami' as-Saghir 3299, Silsilatul-Ahadith as-Sahihati 1838)


Fitnah Terbesar

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita.
(Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Huraian Hadith: 
1. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.
2. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.
3. Oleh itu Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.
4. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.


Menjadi Isteri Solehah

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.
(Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Huraian Hadith: 
Pengajaran Hadis:
i) Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.
ii) Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.
iii) Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri..
iv) Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya. Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya..
v) Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab. Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.


Pagar Diri Dari Maksiat

Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar nabi s.a.w bersabda:Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.
(Riwayat Muslim)

Huraian Hadith: 
Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T. Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T. Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)



HIMPUNAN HADIS


HIMPUNAN HADIS HARIAN JAKIM

Kaya Harta Dan Kaya Ilmu

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a : “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”

(al-Bukhari)

Huraian
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Permudahkan Segala Urusan Islam

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Islam adalah agama yang mudah dan senang diamalkan oleh setiap golongan, oleh itu hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai sesuatu bebanan.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada kesulitan hidup.
3. Islam menuntut agar umatnya berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya ia boleh diterima dengan mudah dan rela.



http://www.islam.gov.my/e-hadith/aspek-aspek-ibadat
Aspek-aspek Ibadat

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun".
(Riwayat ad-Dailani)

Huraian
i) Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat.Di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.
ii) Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
iii) Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:
a) ibadat akal-ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
b) Ibadat jiwa- ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.
c) Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.
d) Ibadat harta- iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf). 


Sayang Menyayangi

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”

(al-Bukhari)

Huraian
Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin. Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.


Menjaga Nama Baik

Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil."

(Muslim).

Huraian
Maruah dan nama baik adalah sesuatu yang amat penting bagi semua orang. Islam menegah perbuatan menghina dan memperlekehkan orang lain kerana ia akan menjatuhkan maruah individu terbabit. Lagipun tidak ada manusia yang suka dirinya diperlekeh dan dihina apalagi di khalayak ramai. Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadis di atas merupakan mereka yang sebenarnya mempunyai nilai di sisi masyarakat dan harus dihormati. Sebagai orang tua contohnya mereka sudah tentu mempunyai banyak pengalaman hidup yang boleh dijadikan panduan dan iktibar oleh mereka yang masih muda. Manakala orang yang berilmu juga merupakan aset yang memberi manfaat untuk kebaikan dan kemajuan ummah seperti juga kedudukannya dengan imam yang adil yang semestinya menjadi tali pengikat kepada keharmonian dan keamanan masyarakat seluruhnya. Golongan ini harus diberi penghormatan sewajarnya kerana setiap kebaikan yang ada pada diri mereka bakal menjadi teladan buat generasi yang datang selepasnya. 

Kelebihan Mukmin Dan Kekurangan Kafir

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya".
(Hadis Muslim)

Huraian
Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir. Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.

Memiliki Kemampuan Bersyukur

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan"
(Bukhari)

Huraian
Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah:

i)Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah.

iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.




3/16/12

MUHASABAH CINTA - EdCoustic




Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku
Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu





3/11/12

KERANA CINTA...


Muhasabah diri sejenak:
Bila cinta di tolak dan tidak di layan sanggup buat apa sahaja akibatnya orang lain yang jadi mangsa.Apalah sangat cinta sesama insan,jika nak dibandingkan dengan cinta ALLAH.Hebat sangatkah cinta sesama insan ni.

Kerana cinta ditolak dan tidak dilayan:
Diri jadi pendendam..
Diri jadi pembenci..

Fikirlah wahai diri,hebat sangatkah cinta itu?Bila tak dapat cinta insan,kesengsaraan dan kebimbangan mula bertapak dalam diri,akan tetapi bila tak dapat cinta ALLAH sedikitpun tiada kebimbingan dalam diri.Subhanallah….cinta insan yang dikejar-kejar tetapi tidak cinta ALLAH.


Kerana Cinta – In-Team ft. Mestica

Cinta itu cahaya sanubari
Kurniaan Tuhan fitrah insani
Dan di mana terciptalah cinta
Di situ rindu bermula

Cinta itu tidak pernah meminta
Tetapi memberi sepenuh rela
Rasa bahagia biarpun sengsara
Berkorban segala-gala

Semua kerana cinta
Yang pahit manis di rasa
Menghibur nestapa merawat duka damai di jiwa
Terpadamlah api benci permusuhan
Terjalinlah kasih sayang
Begitulah cinta yang diidamkan
Tanpa nafsu yang mencemarkan

Dan jangan  pula kerana bercinta 
Kita pun leka entah ke mana
Dan jangan pula kerana bercinta
Tergadai semua maruah agama

Cinta yang sejati
Hanya cintakan Ilahi
Cinta ayah bonda
Tulus suci selamanya

Cintakan saudara masa berada
Hanya sementara
Cinta sesama insan
Suburkan dengan ketakwaan.



3/9/12

SURAH AL-INSYIQAAQ

Surah Al-Insyiqaaq

Bismillah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
A001
Apabila langit terbelah,
(Al-Insyiqaaq 84:1
A002
Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh;
(Al-Insyiqaaq 84:2
A003
Dan apabila bumi diratakan,
(Al-Insyiqaaq 84:3
A004
Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,
(Al-Insyiqaaq 84:4
A005
Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; - (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya).
(Al-Insyiqaaq 84:5
A006
Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).
(Al-Insyiqaaq 84:6
A007
Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
(Al-Insyiqaaq 84:7
A008
Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
(Al-Insyiqaaq 84:8
A009
Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.
(Al-Insyiqaaq 84:9
A010
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
(Al-Insyiqaaq 84:10
A011
Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
(Al-Insyiqaaq 84:11
A012
Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
(Al-Insyiqaaq 84:12
A013
Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!
(Al-Insyiqaaq 84:13
A014
Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !
(Al-Insyiqaaq 84:14
A015
(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
(Al-Insyiqaaq 84:15
A016
Maka Aku bersumpah, demi mega;
(Al-Insyiqaaq 84:16
A017
Dan malam serta segala yang dihimpunkannya;
(Al-Insyiqaaq 84:17
A018
Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama:
(Al-Insyiqaaq 84:18
A019
Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)
(Al-Insyiqaaq 84:19
A020
Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman?
(Al-Insyiqaaq 84:20
A021
Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?
(Al-Insyiqaaq 84:21
A022
(Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang-orang yang kafir, semata-mata mendustakannya;
(Al-Insyiqaaq 84:22
A023
Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.
(Al-Insyiqaaq 84:23
A024
Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;
(Al-Insyiqaaq 84:24
A025
Tetapi orang-orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.
(Al-Insyiqaaq 84:25