3/17/12

HIMPUNAN HADIS


HIMPUNAN HADIS HARIAN JAKIM

Kaya Harta Dan Kaya Ilmu

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a : “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”

(al-Bukhari)

Huraian
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya, kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang diredhai-Nya.

Permudahkan Segala Urusan Islam

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Islam adalah agama yang mudah dan senang diamalkan oleh setiap golongan, oleh itu hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai sesuatu bebanan.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada kesulitan hidup.
3. Islam menuntut agar umatnya berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya ia boleh diterima dengan mudah dan rela.



http://www.islam.gov.my/e-hadith/aspek-aspek-ibadat
Aspek-aspek Ibadat

Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Bertafakur sesaat adalah lebih baik daripada beribadat setahun".
(Riwayat ad-Dailani)

Huraian
i) Islam menyediakan suatu jalan yang sempurna untuk manusia beribadat.Di mana setiap aspek ibadat bersesuaian dengan kekuatan dan keupayaan yang ada pada seseorang.
ii) Ibadat bukan hanya himpunan amal seperti sembahyang, puasa, haji, doa dan sumpamanya tetapi apa jua perkara yang dilakukan dengan niat atau tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
iii) Ibadat terbahagi kepada 4 aspek iaitu:
a) ibadat akal-ia dicapai dengan cara berfikir, merenung, mengkaji sesuatu makhluk Allah serta memerhatikan keindahan dan keagungan ciptaan Allah S.W.T.
b) Ibadat jiwa- ia dilakukan dengan adanya sifat khusyuk, tawakkal, redha terhadap qadha dan qadar, bersyukur, ikhlas, cinta, belas kasihan, al-khauf (takut) dan raja’ (mengharap). Tanpa sifat-sifat ini maka sesuatu ibadat itu dikatakan ibadat yang mati dan tidak diterima oleh Allah S.W.T.
c) Ibadat badan – iaitu segala amalan anggota tubuh termasuklah segala gerak-geri seperti mata, telinga, mulut, hidung, kaki, tangan dan sebagainya. Termasuk juga segala perkataan dan perbuatan.
d) Ibadat harta- iaitu dengan cara mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, memberi nafkah dan mengorbankan harta fi sabilillah, bersedekah, dan menyediakan kemudahan untuk orang ramai (wakaf). 


Sayang Menyayangi

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”

(al-Bukhari)

Huraian
Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin. Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.


Menjaga Nama Baik

Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil."

(Muslim).

Huraian
Maruah dan nama baik adalah sesuatu yang amat penting bagi semua orang. Islam menegah perbuatan menghina dan memperlekehkan orang lain kerana ia akan menjatuhkan maruah individu terbabit. Lagipun tidak ada manusia yang suka dirinya diperlekeh dan dihina apalagi di khalayak ramai. Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadis di atas merupakan mereka yang sebenarnya mempunyai nilai di sisi masyarakat dan harus dihormati. Sebagai orang tua contohnya mereka sudah tentu mempunyai banyak pengalaman hidup yang boleh dijadikan panduan dan iktibar oleh mereka yang masih muda. Manakala orang yang berilmu juga merupakan aset yang memberi manfaat untuk kebaikan dan kemajuan ummah seperti juga kedudukannya dengan imam yang adil yang semestinya menjadi tali pengikat kepada keharmonian dan keamanan masyarakat seluruhnya. Golongan ini harus diberi penghormatan sewajarnya kerana setiap kebaikan yang ada pada diri mereka bakal menjadi teladan buat generasi yang datang selepasnya. 

Kelebihan Mukmin Dan Kekurangan Kafir

Dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya".
(Hadis Muslim)

Huraian
Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir. Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.

Memiliki Kemampuan Bersyukur

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan"
(Bukhari)

Huraian
Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah:

i)Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya.

ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah.

iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah.

iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.




No comments:

Post a Comment