12/23/11

DOA DALAM AL-QURAN


DOA DALAM AL-QURAN

1.Doa agar ALLAH terima amalan kita.
 "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; (Al-Baqarah 2:127)

.
2.Doa kebahagiaan dunia dan akhirat.
"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al-Baqarah 2:201)

3.Doa kemenangan dari ancaman musuh.
 "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir" (Al-Baqarah 2:250)

4.Doa  agar dijauhkan dari kesesatan.
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (A-li'Imraan 3:8)

5.Doa agar diampunkan dosa dan diselamatkan di akhirat.
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka"; (A-li'Imraan 3:16)

6.Doa agar zuriat keturunan dijadikan orang baik.
" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan". (A-li'Imraan 3:38)

7.Doa agar dijauhkan dari perbuatan melampaui batas.
"Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (A-li'Imraan 3:147)

8.Doa agar tidak masuk dalam golongan orang zalim.
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim". (Al-A'raaf 7:47)

9.Doa mohon agar diampunkan dosa dan diberi rahmat.
"Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani". (Al-A'raaf 7:151)

10.Doa agar zuriat keturunan menjadi orang yang menegakkan solat.
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim 14:40)

11.Doa agar ibu bapa dikasihi ALLAH.
 "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' 17:24)

12.Doa mohon petunjuk menyelesaikan masalah dengan baik.
"Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku", (Al-Israa' 17:80)

13.Doa mohon diteguhkan iman dalam menghadapi penindasan musuh.
"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami". (Al-Kahfi 18:10)

14.Doa mohon keselamatan ditempat persinggahan.
 Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat ' " (Al-Mu'minuun 23:29)

15.Doa agar memperolehi rahmat yang paling baik.
"Wahai Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!" (Al-Mu'minuun 23:118)

16.Doa mohon dikurniakan keluarga yang baik dan menjadi pemimpin yang bertaqwa.
"Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Al-Furqaan 25:74)

17.Doa agar menjadi hamba yang bersyukur dan soleh.
" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (An-Naml 27:19

18.Doa agar seluruh mukmin memperolehi keampunan.
"Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu". (Al-Hasy-r 59:10)


No comments:

Post a Comment